Sebelum hendak memulakan bisnes kecil kita sendiri, ada tiga keputusan yang perlu dilalui:
LANGKAH 1: Buat Keputusan
Kita kena buat keputusan sama ada kita betul-betul mahu terjun ke dalam dunia bisnes ataupun cuma berani-berani takut.
Jangan terikut-ikut orang lain, nanti kita menyesal. Modal duit hangus sia-sia, hutang banyak, bisnes gagal.
LANGKAH 2: Pilih Jenis Bisnes
Kita kena pilih bidang bisnes apa yang mahu diceburi. Keputusan ini adalah keputusan yang paling sukar hendak membuatnya.
Banyak kesilapan dilakukan oleh nubis dalam fasa ini, mereka tersilap memilih jenis bisnes yang diceburi.
Banyak anak muda memulakan bisnes dengan menggunakan modal yang dipinjam.
Implikasi kewangannya boleh jadi sangat berat apabila bisnes itu menggunakan modal wang yang dipinjam.
LANGKAH 3: Pilih gaya hidup
Kita perlu buat keputusan cara bagaimana kita hendak memulakan bisnes kita itu.
Contohnya, bagaimana kita hendak mendapatkan modal, dan bagaimana kita mahu memulakan gaya hidup sebagai nubis dalam bisnes.
Sanggupkah kita hidup dengan gaya ikat perut selama beberapa tahun.
Sebelum membuat keputusan muktamad, ada tiga perkara yang mesti wujud kesesuaian antara diri kita dengan jenis bisnes yang akan diceburi:
i. Pengalaman, ilmu pengetahuan, dan kemahiran yang ada pada diri kita mesti sesuai dengan bisnes yang dipilih.
ii. Bakat-bakat, kecenderungan, kepandaian dan minat mendalam kita mesti sesuai dengan bisnes yang dipilih.
iii. Aset dan modal yang kita punyai, termasuk modal sosial mesti sesuai dengan bisnes yang dipilih.
Apabila hati kita sudah benar-benar bulat mahu terjun ke dalam dunia bisnes yang keras dan kejam, di bawah ini adalah 6 langkah memilih jenis bisnes yang sesuai diceburi:
1. Ikut minat kita
Kita boleh pilih bidang bisnes yang kita minati dan di mana kita mempunyai banyak pengetahuan dalam bidang itu.
Sebagai contoh, kita dibesarkan dalam keluarga yang berjiwa seni, ayah kita seorang seniman dan dia menjalankan bisnes dalam bidang kesenian itu, jadi kita mempunyai minat dan juga mempunyai pengetahuan dalam bidang itu. Dalam situasi seperti itu adalah sesuai kita membuka bisnes dalam bidang seni.
Seandainya kita hanya mempunyai minat sahaja, itu sangat berisiko. Dalam keadaan seperti itu sebaiknya kita berkuli dahulu dalam bidang itu bagi mendapatkan pengetahuan yang secukupnya. Selepas berkuli baru kita membuka bisnesnya.
2. Ikut realiti
Dalam memilih bisnes, jangan main ikut-ikutan. Contohnya, disebabkan banyak orang masuk sektor itu, kita pun ikut masuk juga.
Memang betul minat itu penting, tetapi dalam bisnes kita jangan pilih bisnes hanya ikut minat kita.
Bisnes yang kita minati belum tentu menjanjikan peluang membuat keuntungan yang baik.
Pilihlah bidang yang benar-benar ada peluang bisnes kita mampu survive dan sustain, yakni dapat dikembangkan.
Kita mungkin sangat berminat hendak membuka bisnes dalam bidang yang pasarannya tidak cukup besar di lokasi kita.
Sebagai contoh kita hendak membuka kedai kopi mahal ataupun restoran masakan ala Korea, sedangkan kita tinggal di pekan kecil.
3. Ambil kira persaingan
Tengok dahulu situasi persaingan dalam bidang akan akan diceburi.
Apakah dalam sektor itu sudah ada budak-budak besar yang mendominasi pasaran.
Apabila dalam sektor itu sudah banyak pemain, itu adalah tandanya sektor itu sektor yang bagus.
Itu bermakna demand untuk produk ataupun servis itu tinggi.
Walaupun sudah ada budak-budak besar dalam sektor itu, kita masih boleh masuk ke dalam padang yang sama.
Andainya kita mahu ceburi sektor itu, jangan main langgar dinding sahaja. Cara itu tidak betul, nanti duit modal kita hangus sia-sia.
Lakukan ini:
i. Kita kaji dulu cara-cara budak-budak besar itu menjalankan bisnes mereka.
ii. Kemudian kita masuki sektor itu dengan memperkenalkan kelainan pada produk ataupun servis kita.
4. Pilih gaya hidup
Bisnes bukan kerjaya. Bisnes adalah gaya hidup. Jadi kita mesti buat pilihan tentang gaya hidup yang kita sedia terima dan jalani.
Memulakan bisnes adalah sangat sukar. Ia bukan mengambil masa berbulan-bulan. Ia mengambil masa bertahun-tahun, malah mungkin berbelas-belas tahun sebelum kita mampu hidup selesa.
Pilih jenis bisnes yang sesuai dengan personaliti dan karekter kita.
Sebagai contoh, kita mungkin tidak suka berjumpa dengan banyak orang, jadi pilihlah bisnes yang tidak memerlukan kita berjumpa dengan banyak orang.
5. Ambil kira profail risiko
Kaji dahulu risiko-risiko yang secara natural wujud dalam jenis bisnes yang akan diceburi.
Andainya kita mahu memperkenalkan produk ataupun servis yang betul-betul baru, yang unik, yang belum pernah dicipta sebelumnya, maka risikonya lebih tinggi.
Sekiranya idea bisnes kita yang unik itu gagal, sanggupkah kita menyerap kerugian akibat risiko itu.
Andainya kita masuk padang dengan menawarkan produk ataupun servis yang sudah terbukti permintaannya besar, risikonya lebih rendah.
Kita hanya perlu melakukan sedikit pembaikan dan nilai tambah dibandingkan dengan produk dan servis pesaing yang sudah ada dalam pasaran.