5 PANDUAN MEMPERBAIKI SKILL NETWORKING

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp

Networking adalah modal sosial yang sangat mahal nilainya. Ia lebih mahal dibandingkan dengan modal material.

Rangkaian persahabatan yang bermutu adalah sumber penting bagi mengembangkan bisnes kita.

Supaya orang suka bernetworking dengan kita, kita perlu perbaiki lagi skill-skill sosial kita.

Berikut adalah 5 panduan bagaimana kita dapat perbaiki lagi kemahiran kita menjalin networking:

1. Naikkan likeability kita.

Jadikan diri kita orang yang sangat likeable, yakni sangat mudah disukai. Orang yang baru sahaja berkenalan dengan kita pun sudah berasa dia boleh menyukai kita.

Dengan menjadi seorang yang likeable, ke mana kita pergi kita akan mempunyai kawan.

2. Perbaiki skill komunikasi kita.

i. Semasa berbual-bual, pandang muka orang itu.

Ya, pandang muka orang itu sahaja. Jangan pandang anak mata orang itu.

Di sini ada perbezaan antara budaya Barat dan budaya Asia.

Dalam budaya Asia, perbuatan memandang anak mata orang itu hanya dilakukan oleh pasangan yang sedang dilamun asmara.

Dalam budaya Asia, memandang anak mata orang hanya dilakukan dalam situasi tegang, seperti apabila kita hendak mencabar orang itu, ataupun kita hendak mengajak orang itu bergaduh.

Jika dalam budaya Islam, perbuatan memandang muka lelaki ataupun perempuan yang bukan muhrim, perbuatan itu dilarang.

ii. Apabila sedang mendengar orang itu bercakap, sekali-sekala kita angguk-angguk.

Sesiapa pun suka hati apabila dia tengok rakan bualnya mengangguk-angguk:

a. Dia yakin perkara yang dipercakapkannya itu menarik minat rakan bualnmya.

b. Dia yakin rakan bualnya suka berbual-budal dengan dia.

c. Dia yakin rakan bualnya faham percakapannya.

d. Dia yakin rakan bualnya setuju dengan pendapatnya.

Semua keyakinannya itu membuatkan orang itu berasa dirinya seorang yang menarik dan bijak. Dia puas hati berpeluang berbual-bual dengan kita. Lain kali dia mahu berjumpa kita lagi.

iii. Gunakan bahasa perbualan yang sopan dan halus.

a. Gunakan panggilan bahasa tinggi seperti ‘tuan’, ‘puan’, ‘cik puan’.

b. Jangan gunakan ‘you’ dan ‘I’. Bahasa you-you itu sama maknanya dengan bahasa engkau-aku. Ia hanya boleh digunakan apabila kita berbual-bual sesama kawan-kawan akrab sahaja.

c Banyakkan bertanya dan galakkan rakan bual kita supaya dia mengemukakan pendapatnya.

Apabila setuju dengan pendapatnya, kita angguk-angguk.

Apabila kita tidak setuju, jangan cakap apa-apa, simpan pendapat kita dalam hati, kita angguk sahaja tandanya kita faham apa dia cakap. Alihkan topik perbualan.

iv. Belajar bahasa badan.

Dalam budaya Asia, bahasa badan lebih penting daripada bahasa mulut.

Mulutnya mungkin kata dia mahu, tetapi bahasa badannya mungkin berkata dia tidak mahu. Mulutnya mungkin kata dia setuju, tetapi bahasa badannya mungkin berkata sebenarnya dia tidak setuju.

3. Minta pendapat dan pandangan dari rakan bual kita.

Fitrah manusia suka apabila pendapat, pandangan dan nasihatnya diminta.

Syaratnya kita bukan pura-pura hendak tahu pendapatnya. Wajah kita mesti menunjukkan kita memang berminat hendak mendengar pandangan dan nasihatnya.

4. Hadir majlis-majlis di mana kita berpeluang berjumpa dengan kenalan baru.

Apabila hadir sebarang majlis, ambil kesempatan berkenalan dengan orang-orang yang kita tidak kenali.

Andainya kita dapat berkenalan dengan satu ataupun dua orang sahaja sepanjang majlis itu, itu pun sudah cukup baik.

Yang penting, semasa berpisah orang itu beritahu dia berminat hendak berjumpa kita lagi pada masa depan, ataupun dia mengajak kita datang ke tempat bisnesnya.

5. Bertanya soalan yang menarik.

Soalan yang menarik adalah soalan yang menggunakan ayat positif. Jangan kita bertanya perkara-perkara yang negatif.

Apabila orang itu banyak bercakap perkara negatif, jangan buang masa kita. Tamatkan perbualan dan cari rakan bual lain.

Penutup

Orang akan terus mahu berkawan dengan kita selagi perhubungan kita dengannya itu membawa kebaikan kepadanya.

Apabila kita tidak lagi membawa kebaikan kepadanya, dia tidak mempunyai sebab mengapa mahu berjumpa dengan kita lagi.

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp