MELAMBAT-LAMBATKAN MEMBUANG PEKERJA

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp

Mengambil pekerja sangat mudah. Membuang pekerja sangat susah.

Antara kesilapan yang usahawan kecil kerap lakukan adalah melambat-lambatkan tindakan membuang pekerja yang buruk perangai.

Apabila kita tidak buang epal busuk dalam kalangan pekerja kita, akibatnya nanti epal-epal yang elok akan berhenti kerja.

Sebaiknya elakkan dua perkara ini:

1. Hubungan mesra.

Kita melayan pekerja dengan gaya layanan mesra dengan sangkaan akan timbul kasih sayang antara sesama mereka dan dengan kita.

Pakar-pakar dalam bidang hubungan tenaga kerja menasihati supaya kita jangan bergaul dengan cara mesra dengan pekerja, sampai mereka rasa rapat dengan kita.

Maksud bergaul mesra dengan pekerja:

i. Kita layan mereka sama macam kita melayan keluarga sendiri.

Sebagai contoh, kita suruh mereka panggil kita dengan panggilan keluarga seperti ‘kakak’, ‘abang’, ‘acik’, ‘ibu’, ‘umi’.

Mula-mula memang mereka rasa suka mendapat majikan yang mahu bergaul mesra macam kakak-adik dengan pekerja. Lama-lama macam-macam masalah akan timbul.

Sebagai contoh, sukar bagi kita hendak mengambil tindakan disiplin ke atas pekerja yang sudah rapat dengan kita.

ii. Kita layan pekerja macam mereka itu kawan baik kita.

Kesilapan ini mudah berlaku apabila kita mengambil pekerja yang umurnya sebaya dengan kita.

Kita bercakap dengan mereka dengan panggilan rakan sebaya seperti ‘engkau’ dan ‘aku’.

2. Pekerja yang susah hendak dipecat.

Kita melambat-lambatkan hendak membuang pekerja kerana tindakan itu akan menimbulkan banyak masalah lain.

Situasi itu berlaku apabila kita ambil pekerja daripada kalangan yang mempunyai hubungan rapat dengan kita seperti:

a. Adik beradik.

b. Sepupu-sepapat.

c. Ayah ataupun ibu saudara.

d. Anak saudara.

e. Ipar-duai.

f. Kerabat ipar.

g. Sahabat baik.

h. Anak sahabat baik.

i. Adik beradik dan kerabat sahabat baik.

j. Jiran sekampung.

k. Anak jiran sekampung.

l. Orang yang pernah menolong kita, ataupun anak isteri, ataupun saudara-mara orang yang pernah menolong kita.

Apabila mereka menimbulkan masalah, kita susah hendak pecat mereka.

Apabila kita pecat adik beradik sendiri, ibu bapa akan masuk campur. Hendak dibantah, tak boleh. Nanti kita melakukan dosa anak derhaka.

Apabila kita pecat keluarga ipar sendiri, itu boleh mengundang ibu bapa kita dan ibu bapa mertua kita masuk campur dalam urusan bisnes kita. Jika kita pecat juga, hubungan dalam keluarga besar boleh rosak.

Penutup

Kita perlu menolong orang-orang yang rapat dengan kita mendapat pekerjaan.

Cara betul menolong mereka adalah kita carikan pekerjaan untuk mereka di tempat lain.

Biar mereka bekerja di syarikat milik kawan-kawan kita. Bukan bekerja dalam syarikat kita.

Robert Kiyosaki berpesan:

“Kita mesti buang customers yang buruk perangai. Kita juga mesti buang pekerja yang buruk perangai. Jika kita simpan pekerja yang buruk perangai, pekerja yang baik akan berhenti kerja. Jika kita tidak buang customers yang buruk perangai, lama-lama bukan customers yang baik saja akan lari, pekerja kita yang baik pun akan berhenti kerja.”

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp