FAKTOR KOS MELEPAS DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN BISNES

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp

Dalam bisnes kita sentiasa membuat pilihan dan membuat keputusan.

Kita mahu pilih apa? Mahu belajar membina website sendiri, ataupun mahu mengupah orang lain membuatnya untuk kita?

Andainya kita mahu buat sendiri, apa untungnya, apa ruginya kita buat website sendiri?

Salah satu aspek yang mesti diambilkira apabila membuat keputusan adalah opportunity cost atau kos peluang. Istilah kos peluang ini disebut juga dengan istilah kos melepas. Disebabkan kita pilih satu peluang, kita melepas peluang lain.

Kos peluang adalah kos di mana kita rugi disebabkan kita tidak mengambil peluang lain yang lebih baik, yang lebih menguntungkan.

Dalam perkataan lain, kita rugi kerana kita hilang peluang mendapat kelebihan-kelebihan seandainya kita ambil keputusan lain.

Kita tidak dapat lari daripada membuat keputusan di mana tiap-tiap keputusan yang kita buat itu akan ada implikasinya.

Kos peluang dapat diukur dan dikira. Ia adalah perbezaan antara kos bisnes yang dipilih dengan kos bisnes yang tidak dipilih.

Bagi menerangkan konsep kos peluang, kita ambil senario macam ini: Katakanlah bisnes kita sekarang membuka ladang itik.

Kadang-kadang, apabila difikirkan semula, kita rasa sepatutnya kita tidak buat bisnes ladang itik. Sepatutnya kita buat bisnes ladang ayam kampung, yang kita rasa lebih mudah mengurusnya, kurang memenatkan, dan lebih menguntungkan.

Situasi begitu memang biasa berlaku. Pada masa kita membuat keputusan hendak membuka ladang itik itu, kita tidak berapa nampak aspek-aspek kekurangan yang ada pada bisnes ladang itik. Kita lebih nampak kelebihan-kelebihannya sahaja.

Dalam situasi begitu, kita tidak nampak kos peluang yang ada pada bisnes ladang itik.

Dalam kes bisnes ladang itik itu, kita tidak benar-benar faham kelebihan dan kekurangan bisnes ladang itik apabila dibandingkan dengan bisnes ladang ayam kampung. Akibatnya, kita membuat keputusan yang kurang bijaksana.

Dalam bisnes, kita terpaksa membuat pilihan disebabkan sumber-sumber kita terbatas.

Peluang bisnes sentiasa banyak. Sumber-sumber yang ada pada kita sentiasa tidak cukup banyak. Sebagai contoh duit modal kita terhad.

Justeru kita terpaksa memilih bagaimana sebaiknya kita gunakan duit modal yang terhad itu, sama ada mahu ambil peluang yang ini ataupun mahu ambil peluang yang itu.

Disebabkan kita terpaksa memilih satu peluang sahaja, bermakna kita terpaksa melepaskan peluang-peluang lain dan dan semua kelebihan yang ada pada peluang-peluang itu.

Yang disebut sebagai opportunity cost itu adalah nilai kelebihan-kelebihan peluang yang dilepaskan itu. Itulah kerugian kita.

Ambil contoh mudah ini. Kita hendak makan nasi ayam ataupun nasi Arab? Kita pilih nasi ayam. Jadi, nasi Arab adalah kos melepas kita. Disebabkan kita pilih nasi Atab, kita rugi tidak makan nasi Arab.

Dalam contoh lain, disebabkan kita sibuk membuat kerja operasi, kita tidak dapat membuat kerja-kerja marketing.

Dalam menguruskan bisnes, kita mesti membuat keputusan berdasarkan maklumat yang betul. Istilahnya informed decision.

Apabila kita tidak benar-benar faham peluang yang kita lepaskan, bermakna keputusan yang kita buat itu tidak benar-benar berasaskan maklumat yang betul.

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp