Cara Mendorong Staff Dengan Kaedah Nabi.

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp

Isu Semasa

Isu staff tidak mematuhi peraturan waktu kerja dan datang kerja lewat adalah isu yang sangat banyak berlaku. Bagi mengatasi isu datang lewat, pelbagai cara dicipta, namun bagi sesetengah pekerja cara-cara itu tidak juga efektif. Sebagai contoh, ada staff yang sanggup gajinya dipotong, bagi mereka itu tak apa-apa.

Dalam sebuah hadith, diceritakan suatu peristiwa di mana seorang lelaki melakukan tiga kesalahan melanggar SOP kerja, tetapi Nabi tidak sebut langsung tiga kesalahannya itu. 

Pada waktu yang sama, selain melanggar SOP kerja, lelaki itu ada melakukan suatu perbuatan yang baik. Nabi tidak menegur kesalahannya, sebaliknya Nabi memuji perbuatannya betul itu.

Hadith ’12 Malaikat’

Anas melaporkan, pada suatu hari seorang lelaki datang dan terus masuk barisan orang yang sedang solat, dengan nafasnya termengah-mengah sambil membaca ‘Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.’ Selesai solat, Nabi bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua yang ada diam. Nabi bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Nabi berkata, “Sungguh, saya nampak 12 malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” – Sahih Muslim

Ulasan

Dalam hadith ’12 Malaikat’ itu, direkodkan peristiwa seorang lelaki yang melakukan tiga kesalahan melanggar SOP kerja. Kerja itu adalah solat berjemaah di masjid.

Kesalahan pertama, dia datang lambat, waktu itu Nabi dan orang-orang lain sudah dalam solat tetapi dia baru sampai. Jika dalam syarikat, dia itu tidak menepati SOP masuk kerja. Orang lain sudah bekerja, dia baru sampai.

Kesalahan kedua, dia membuat bising dalam masjid, sampai Anas pun pun dapat mendengar dia termengah-mengah dan setiap patah kata-kata yang diucapkannya. Bukan hanya Anas dapat mendengar, Nabi pun dapat mendengar, padahal Nabi itu sangat khusyuk dalam solat, bermakna kuat betul suara lelaki itu. Jika dalam syarikat, apa yang dilakukan oleh lelaki itu sama dengan staff yang datang lambat dan membuat bising sehingga menggangu ketenteraman di tempat kerja.

Kesalahan ketiga, apabila ditanya, dia tidak mahu mengaku. Selepas diberikan jaminan bahawa kata-kata yang diucapkannya itu bukan perkara berdosa barulah dia mengaku.

Apabila Nabi solat di masjid, semua sahabat-sahabat Nabi yang senior seperti Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan lain-lain sentiasa ada solat bersama-sama sebagai makmum. 

Sedangkan Anas dan Nabi pun dapat mendengar zikir lelaki itu dengan jelas, bermakna sahabat-sahabat yang lain pun tentu dapat mendengar juga.

Begitu juga dengan kata-kata pujian Nabi untuk lelaki itu. Sedangkan Anas pun dapat mendengarnya, tentulah sahabat-sahabat yang lain pun dapat mendengarnya.

Dalam peristiwa itu, kita dapat lihat bagaimana Nabi memuji seorang orang kecil, yang namanya pun Anas tidak tahu. Nabi memberi pujian kepada orang kecil itu di hadapan khalayak orang-orang kenamaan. Padahal orang kecil itu telah melakukan tiga kesalahan melanggar SOP kerja.

Dalam peristiwa itu, SOP kerja yang dilanggar oleh lelaki itu bukanlah SOP yang boleh membahayakan keselamatan nyawa, merosakkan harta benda syarikat, ataupun merugikan kewangan syarikat. 

Dalam kes kesalahan melanggar SOP teknikal yang tidak serius kesannya, Nabi langsung tidak menegur lelaki itu atas tiga kesalahan yang dilakukannya itu. Sebaliknya, Nabi memuji 1 perbuatan baik yang dilakukannya.

Dari sudut akal logik manusia biasa, apa yang dilakukan oleh Nabi itu memang macam tidak logik, tidak masuk akal. Manakan tidak, si ketua memuji anak buahnya, padahal dia telah melakukan banyak kesalahan melanggar SOP kerja. 

Berdasarkan pemikiran akal biasa, kita percaya apabila seseorang ketua memuji staffnya yang melakukan kesalahan, hal itu akan menghasilkan banyak kesan buruk.

Alasan pertama, ia boleh membuat staff yang dipuji itu naik kepala. Lain kali dia tidak takut hendak datang lambat lagi.

Alasan kedua, pujian kita itu akan menyebabkan staff lain tidak takut hendak datang lambat.

Namun kebimbangan macam itu tidak terjadi dalam peristiwa dalam hadith itu. Selepas dipuji oleh Nabi, tidak pula lelaki itu naik kepala dan dia datang lambat lagi. Begitu juga, selepas peristiwa itu tidak pula ada jemaah lain yang datang solat lambat dan membuat bising di dalam masjid.

Selepas peristiwa yang dilaporkan dalam hadith ’12 Malaikat’ itu, tidak ada hadith lain yang merekodkan lelaki itu pernah datang lambat lagi dan buat bising lagi. Justeru, kita dapat andaikan semenjak Nabi memuji dia, selepas itu dia sentiasa datang solat pada waktunya.

Dalam pemikiran rasional yang mainstream hari ini, majoriti orang awam berpendapat perbuatan yang macam Nabi lakukan itu tidak semestinya boleh aplikasi lagi pada zaman sekarang. 

Bagi menyokong pendapat itu mereka menggunakan alasan, Nabi bolehlah buat macam itu, sebab kualiti umat Nabi lain, mereka semua kuat iman dan soleh belaka, walaupun dipuji mereka tak naik kepala. Kita sekarang tak boleh nak buat macam Nabi buat sebab kualiti staff kita lain tak macam umat Nabi. Saidina Ali pun pernah mempunyai pemikiran semacam itu di mana beliau telah membandingkan perbezaan antara kualiti para pengikut Nabi dan kualiti para pengikutnya sendiri.

Sebenarnya, apabila kita menggunakan alasan macam itu, ada unsur yang tidak betul dalam alasan itu. Alasan macam itu datang daripada logik akal yang salah. Apabila kita mengatakan umat Nabi dulu lain, manakala staff kita sekarang lain, di sebalik alasan itu kita sebenarnya mengatakan pada masa ini aplikasi sunnah Nabi itu sudah tidak sesuai untuk digunakan ke atas staff kita. Maksudnya, pada pendapat kita sunnah Nabi sudah tidak dapat digunakan lagi sekarang ini, sudah tidak valid, sudah tidak dapat diaplikasikan lagi, sudah ketinggalan zaman, sedangkan sunnah Nabi adalah sesuatu yang kekal valid untuk sepanjang zaman.

Apabila kita menjadi pemimpin dalam syarikat ataupun organisasi, kita mempunyai staff dan anak buah yang bermacam-macam karekter dan perangainya. 

Sebagai contoh, pihak pengurusan sudah menyediakan SOP kerja yang wajib dipatuhi, tetapi akan sentiasa ada staff yang melanggar SOP itu. Perbuatan melanggar SOP kerja adalah kesalahan yang serius. Ada hukuman disediakan bagi kesalahan jenis ini. Malah, dari segi undang-undang majikan diizinkan memecat staff yang melanggar SOP kerja.

Lazimnya, sebagai ketua kita memang tidak bertoleransi dengan mana-mana staff ataupun anak buah yang melanggar peraturan kerja. Kita akan tegur, membebel, menasihati, memberi amaran, memarahi, malah mungkin kita ambil tindakan disiplin ke atas mereka. Biasanya tindakan macam itu tidak menghasilkan perubahan tingkah laku yang diingini.

Teori bagi Menerangkan Keberkesanan Teknik Nabi

Bagi seseorang yang biasa-biasa sahaja, orang kecil dalam kumpulannya, pengalaman dia diberi pujian di hadapan semua jemaah masjid, termasuk di hadapan orang-orang kenamaan, peristiwa macam itu adalah di luar dugaannya. 

Maruah dan self-esteem lelaki itu kembang menggebu-gebu. Dia menjadi sangat bangga. Emosinya terhadap ketuanya yang memuji dirinya menjadi amat positif, boleh sampai mencetuskan perasaan kasih kepada ketuanya.

Selepas dia menerima pujian yang begitu bagus, dengan disaksikan pula oleh semua orang kenamaan, takkan dia mahu datang lambat lagi pada masa lain.

Aplikasi

Gunakan hadith ini bagi mendorong perubahan tingkah laku staf yang  melanggar peraturan teknikal di tempat kerja. Peraturan teknikal yang dilanggarnya itu mestilah jenis yang tidak membahayakan keselamatan dan tidak menyebabkan kerugian kepada syarikat.

Inilah SOP bagi mendorong perubahan tingkah laku anak buahnya yang masih lemah disiplin kerjanya:

1. Pura-pura tidak nampak orang itu melakukan kesilapan teknikal yang kecil-kecil.

2. Cari kebaikan kecil yang dilakukan oleh orang itu.

3. Puji kebagusan pada kebaikan kecil itu.

4. Puji serta-merta.

5. Puji di hadapan orang-orang lain.

Dapatkan lagi banyak ilmu kepimpinan berdasarkan hadith Nabi S.A.W dalam ebook terbaru penulisan Ainon Mohd bertajuk Lead Like Muhammad.

Untuk maklumat lanjut, klik gambar di bawah:

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp
Scroll to Top