8 CIRI YANG WAJIB ADA APABILA MEMILIH RAKAN KONGSI BISNES

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp

Mempunyai bisnes partners yang betul adalah sangat kritikal andainya kita mahu membangunkan suatu bisnes kecil yang mampu tumbuh dan berkembang sehingga menjadi syarikat yang besar.

Mula-mula sekali kita mesti ditetapkan apa tujuan kita mahu mengambil bisnes partner.

Andainya kita hendak memulakan bisnes karipap pusing beku, tetapkan dahulu apa tujuan kita hendak mengambil partner.

Contoh:

a. Apakah kita cuma mempunyai ilmu bisnes, oleh itu kita  memerlukan modal kewangan yang cukup untuk tempoh 6 bulan.

b. Kita mungkin memerlukan resepi dan kemahiran membuat karipap pusing beku.

c. Kita mungkin memerlukan orang yang mahir dalam marketing, branding, membuka channel edaran, menaikkan angka-angka jualan.

Di bawah ini adalah lapan kriteria paling penting apabila memilih bisnes partner.

Partner yang kita pilih itu tidak semestinya mempunyai semua 8 ciri-ciri itu.

Kita pilih calon yang mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan keperluan bisnes kita.

Jangan pilih partner yang langsung tidak memiliki mana-mana ciri dalam senarai 8 perkara itu.

Kesilapan macam itu kerap berlaku apabila kita memilih kawan baik sendiri, adik beradik sendiri, dan suami ataupun isteri sendiri sebagai business partner.

1. Networking

Networking adalah modal sosial yang paling penting dalam kejayaan bisnes.

Andainya modal material seperti duit kita tidak banyak, tetapi modal sosial kita banyak, masih ada harapan bisnes kita akan berjaya.

Pilih calon bisnes partner yang mempunyai networking yang banyak dan luas.

Jangan ambil kawan baik sendiri menjadi bisnes partner. Ini kesilapan yang banyak usahawan nubis lakukan.

Kawan baik kita itu mungkin tidak tahu apa-apa tentang bisnes, cuma ada semangat sahaja.

Calon bisnes partner yang sesuai adalah dia mempunyai networking bisnes yang banyak dan luas.

Contoh bagaimana pentingnya peranan networking dalam bisnes:

a. Dia tahu dari mana, dan dari siapa kita boleh mendapatkan servis, bahan mentah, ataupun bekalan stok yang kualitinya tinggi dan harganya lebih rendah.

b. Dia tahu di mana produk kita dapat dijual pada harga lebih tinggi.

c. Dia mempunyai hubungan baik dengan banyak agent yang mampu menjual pada volume lebih tinggi.

2. Pengalaman

Kita mungkin hendak menceburi bidang bisnes yang potensinya bagus tetapi kita tidak mempunyai ilmu dan pengalaman dalam bidang itu.

Dalam situasi begitu, kita perlu nilai diri kita sendiri secara objektif di mana kelemahan kita yang paling kritikal.

Sebagai contoh, kita hendak membuka bisnes karipap pusing beku, tetapi kita tidak pandai membuatnya.

Kelemahan macam itu bukanlah kelemahan yang kritikal. Kita boleh atasi kelemahan itu dengan mengambil pekerja mahir bagi membuatnya. Tidak perlulah kita ambil partner untuk tujuan membuat karipap itu.

Tiga jenis pengetahuan yang kritikal dalam bisnes adalah:

a. Kita perlu mempunyai pengetahuan berkenaan semua jenis risiko bisnes yang hendak diceburi. Apabila kita tidak mempunyai pengalaman itu barulah kita perlu mengambil bisnes partner yang tahu bagaimana mengawal risiko-risiko itu. Individu yang pernah bekerja dalam sesuatu syarikat, dia akan mempunyai pengalaman berharga dalam menguruskan pelbagai risiko dalam bisnes syarikat itu.

b. Calon bisnes partner kita itu mempunyai pengetahuan tentang trend dan musim-musim turun naik permintaan untuk produk dan servis itu. Tanpa pengetahuan itu kita boleh membuat kesilapan yang mahal harganya, sebagai contoh kesilapan dalam jadual pengeluaran.

c. Calon itu mempunyai pengetahuan bagaimana pelbagai jenis kos dalam bidang itu dapat dikawal dan diturunkan.

3. Kreativiti

Rakan kongsi yang kreatif adalah aset yang amat tinggi nilainya dalam bisnes.

Idea-idea baru sentiasa dapat menarik customers baru. Contohnya, kita perlukan seseorang yang mampu melahirkan brand baru bagi bisnes kita.

Dengan mendapat customers baru, itu bermakna pasaran produk dan servis kita semakin besar.

Itulah faktor mengapa sebagai usahawan, kita perlukan seorang rakan kongsi yang kreatif di sisi kita.

Dialah rakan kita berfikir mencari jalan dan idea dan menyelesaikan macam-macam problem.

Pesaing kita tidak pernah berhenti cuba mencuri customers kita.

Untuk survive, dari masa ke masa kita perlukan idea-idea baru bagi membezakan bisnes kita daripada bisnes para pesaing.

Cari calon bisnes partner yang mampu melakukan ini:

a. Dia mampu membantu kita mencari idea-idea baru bagi mengembangkan bisnes.

b. Dia mampu menyuntik semangat baru kepada staff kita supaya mereka berani mencuba idea-idea baru sehingga berjaya,

c. Dia mampu menyelesaikan problem-problem yang sedia ada dengan menggunakan cara-cara baru yang tidak terfikirkan sebelumnya.

4. Sumber Kewangan

Bisnes memerlukan modal wang. Tidak ada bisnes yang boleh survive tanpa modal yang cukup.

Cashflow atau aliran tunai adalah nyawa bisnes. Kita perlu mempunyai bisnes partner yang mampu menyumbangkan modal wang.

Dengan modal yang cukup barulah kita dapat capai tujuan kita menjalankan bisnes.

Elakkan mengambil bisnes partner yang langsung tidak mampu mengeluarkan modal.

Apabila dia sanggup mengeluarkan wangnya sendiri barulah dia sanggup memberikan komitmennya bagi memastikan bisnes kita akan berjaya.

5. Dapat Mengambil Risiko

Bisnes adalah sangat berisiko. Jangan ambil bisnes partner yang pengecut dengan risiko kerugian.

Jangan ambil orang yang cuma hendakkan untung sahaja, dia tak hendak rugi.

Orang macam itu menyusahkan kita membuat sebarang keputusan, lama-lama kita tak dapat nak bergerak.

Pada waktu yang sama kita juga tidak mahu orang yang gopoh-gapah dalam urusan kewangan syarikat menjadi rakan kongsi kita.

Jadi, kita perlukan rakan kongsi yang selesa dalam menghadapi risiko bisnes, sanggup rugi, namun amat teliti mencongak risiko yang akan diambil.

6. Pandai Menyelesaikan Masalah

Dalam apa jua bisnes, kita mengalami masalah demi masalah. Syarikat yang survive adalah syarikat yang dapat menyelesaikan masalah-masalahnya.

Peranan penyelesai masalah sangat penting dalam bisnes.

Apabila rakan kongsi kita adalah seorang yang pandai menyelesaikan masalah, peluang bisnes kita survive menjadi lebih tinggi.

a. Dia yang boleh nampak, dan dia menunjukkan di mana terdapatnya masalah yang perlu diperbaiki.

b. Dia memperbaiki proses-proses kerja dalam bisnes kita sebelum dilaksanakan.

c. Dia menyelamatkan wang bisnes kita daripada menanggung kerugian.

d. Dia menjimatkan masa kerja, dengan itu menjimatkan kos.

e. Dia membantu bisnes kita mencapat KPI, gol, dan target.

7. Pembuat Keputusan Yang Bijaksana

Bisnes yang berjaya adalah hasil daripada keputusan-keputusan yang bagus dan tepat.

Sebagai contoh, apabila jualan produk kita laku keras sebagaimana yang dirancang, kita mesti buat keputusan apa yang patut dilakukan supaya jualan naik laju tetapi kita masih buat untung.

Orang yang mampu membuat keputusan yang betul seperti dalam senario itu sangat sesuai menjadi rakan kongsi kita.

Ada hasil kajian yang mendapati orang yang berfikir secara kreatif mampu menghasilkan keputusan yang lebih bagus.

Ciri-ciri pembuat keputusan yang bijak:

a. Dia dapat memberikan penilaian dan pertimbangan yang bijaksana daripada pelbagai sudut pandang, dalam situasi-situasi yang berbeza, sebelum akhirnya fia membuat pilihan dan keputusan.

b. Dia mampu membuat analisis masa depan berdasarkan situasi sekarang.

c. Dengan menggunakan data-data semasa dia mampu membuat ramalan-ramalan dengan tepat ataupun hampir tepat.

8. Jujur dan Amanah

Apabila kita menjadi rakan-kongsi kita tidak boleh dalam diam-diam menjalankan bisnes sendiri yang bersaing dengan bisnes dengan rakan-kongsi.

Tetapi perkara macam itu banyak berlaku, baik dalam kalangan partners mahupun dalam kalangan pekerja.

Orang macam itu tidak jujur. Apabila orang macam itu diambil sebagai rakan kongsi, ia menjejaskan kepentingn bisnes kita.

Ambil masa menyiasat latar belakang orang yang akan diambil menjadi rakan kongsi.

PENUTUP

Bagi bisnes kecil, berapa jumlah rakan-kongsi yang ideal?

Menurut Paul Graham, co-founder sebuah syarikat permodalan, untuk syarikat kecil 2 ataupun 3 orang rakan kongsi adalah terbaik.

Lebih banyak partners, lebih banyak perbezaan perangai dan pendapat, maka lebih tinggi kemungkinan perkongsian itu akan gagal.

Share on facebook
Share on telegram
Share on twitter
Share on whatsapp